Tokong Si Thian Kong

Terletak di Selaru, Kuala Pilah, Tokong Si Thian Kong merupakan salah satu mercu tarikan pelancongan budaya yang menonjol di Negeri Sembilan. Keunikan seni binanya serta hiasan bercahaya yang memukau menjadikannya lokasi tumpuan, terutamanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Setiap tahun, tokong ini dihiasi dengan limpahan lampu neon dan LED berwarna-warni, mencetuskan suasana meriah yang membangkitkan semangat komuniti Cina untuk menyambut perayaan tersebut. Lebih 2,000 tanglung digantung di perkarangan tokong, diserikan lagi dengan hiasan patung harimau dan pelbagai objek simbolik lain.

Menariknya, keseluruhan dekorasi dan reka bentuk tokong ini adalah hasil inisiatif ahli-ahli pertubuhan tokong sendiri. Menurut wakil pengurusan, mereka tidak melantik mana-mana pereka dalaman profesional. Sebaliknya, segala idea dan kerja dekorasi dilakukan secara berperingkat melalui perbincangan bersama ahli. Kini, mereka juga sedang dalam proses membina bangunan pejabat baharu bagi melancarkan urusan pentadbiran.