Taman Eko Rimba Jeram Tengkek
Terletak di tengah kehijauan Hutan Simpan Serting Utara, Taman Eko Rimba Jeram Tengkek bukan sahaja mempesona dengan keindahan air terjunnya, malah turut menyimpan pelbagai kisah legenda dan tinggalan sejarah yang menarik.
Nama “Tengkek” dipercayai berasal daripada cerita lama tentang peneroka yang terpaksa mendaki kawasan berbukit secara bertingkat hingga terpaksa menggunakan tongkat, atau “tengkek” dalam sebutan tempatan, sebagai alat sokongan. Di kawasan jeram ini juga terdapat batu besar unik yang berlekuk di tengahnya, dipercayai sebagai jejak kerbau dan tapak kaki kanak-kanak, sekali gus menambah unsur misteri pada lokasi ini.
Penduduk tempatan turut mempercayai bahawa suatu ketika dahulu, kawasan ini merupakan penempatan makhluk ghaib atau bunian. Diceritakan bahawa orang kampung akan “meminjam” pinggan mangkuk daripada penduduk ghaib ini untuk majlis kenduri kahwin; cerita rakyat yang masih segar dalam ingatan generasi lama.
Batu-batu kecil yang terdapat di jeram ini dahulu dikenali sebagai “kapok” dan digunakan dalam proses tradisional kapok padi, iaitu satu kaedah penting dalam pertanian tempatan.


