Muzium Rembau

Muzium ini dibina hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, diuruskan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Ia menampilkan koleksi sejarah dan budaya daerah Rembau, termasuk Institusi Undang Luak, Sejarah Rembau serta kedatangan Raja Melewar. Muzium ini turut dilengkapi dengan perpustakaan, bilik audio visual, kedai cenderamata serta ruang pameran yang teratur.

Antara koleksi menarik ialah Rumah Tradisional Melayu Rembau dari Kampung Nerasau, selain artifak sejarah yang dikumpul, dipulihara dan didokumentasikan. Muzium ini juga menjadi pusat rujukan untuk pelajar, penyelidik dan pencinta sejarah.

Pameran utama:

Balai Dato’ Undang – memaparkan sejarah pentadbiran Dato’ Undang Rembau, alat kebesaran, sistem perlantikan, peranan terhadap masyarakat, serta pengamalan Adat Perpatih.

Ruang Pelaminan – menampilkan pelamin tradisional Rembau berwarna merah, lengkap dengan bunga telur, alas duduk, tirai belakang, parang-parang dan tepak sirih, dihias dengan benang tekat, manik dan labuci.