Gua Pasoh

Gua Pasoh ialah gua batu kapur berusia lebih 314 juta tahun, antara tertua di Malaysia. Terkenal dengan formasi unik dan nilai arkeologi tinggi, ia kini menjadi sebahagian daripada pelancongan komuniti HANYA D’Pasoh, yang menawarkan pengalaman meneroka tapak arkeologi, warisan semula jadi dan budaya tempatan.

Terletak di Hutan Simpan Pasoh, FELDA Pasoh 4, gua ini menyimpan bukti kehidupan prasejarah di Semenanjung Malaysia. Penemuan artifak seperti tembikar, alat batu dan sisa makanan purba menceritakan kisah kehidupan manusia Mesolitik. Kini, melalui program komuniti, pengunjung dapat menikmati pelancongan berasaskan alam, budaya dan warisan secara lestari.

Pakej komuniti HANYA D’Pasoh dikendalikan oleh geo guide bertauliah. Aktiviti termasuk lawatan gua batu kapur, tapak eskavasi arkeologi, demonstrasi membuat api tradisional, serta eksplorasi Gua Waris dengan fenomena ‘ray of light’. Pengunjung juga boleh mendaki Bukit Batu Dinding untuk melihat matahari terbenam atau bersantai di air terjun bertingkat berdekatan.

Selain penerokaan gua, pelawat boleh menikmati aktiviti agro-pelancongan seperti lawatan ke ladang padi dalam tong, demonstrasi pembuatan keropok ikan keli, dan produk sawit inovatif. Warisan budaya turut diketengahkan melalui muzik Caklempong, aktiviti menuai padi, serta interaksi bersama komuniti Orang Asli Ulu Lakai. Permainan tradisional seperti tarik upih, batu seremban dan kereta api tong menambah pengalaman desa yang autentik untuk semua peringkat umur.