Perkampungan Budaya Terachi

Di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah, pengunjung berpeluang merasai keunikan tradisi sawah padi dan aktiviti desa. Kolam Ngoca di sini diusahakan oleh penduduk tempatan dengan penanaman padi biasa dan padi pulut, termasuk petak sawah berhampiran jalan yang akan membentuk tulisan khas “DAULAT TUANKU” sebagai tarikan istimewa.

Selain menikmati pemandangan sawah yang menghijau, pengunjung juga boleh menyaksikan acara tahunan seperti Pesta Ngoca dan Bola Sepak Sawah yang cukup meriah, menggabungkan budaya, sukan dan rekreasi. Aktiviti ini kini menjadi antara acara wajib dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan, menarik minat pelancong tempatan mahupun luar negeri.

Di kawasan ini juga terletaknya Kodai Makan Ain yang merupakan port makan tengah hari yang popular di Kuala Pilah, terkenal dengan pelbagai pilihan lauk kampung yang segar dan menyelerakan. Antara menu yang sering menjadi kegemaran pelanggan termasuk masakan lemak cili api, ikan bakar, ulam-ulaman segar serta sambal yang membangkitkan selera.

Dengan suasana kampung yang mesra dan harga yang berpatutan, ia menjadi lokasi persinggahan sesuai bagi pengunjung yang ingin merasai keaslian masakan tradisional Negeri Sembilan.