Mural @ Stesen Bas Bahau

Stesen Bas Bahau kini menampilkan mural sepanjang lebih 60 kaki yang menggambarkan sejarah pengangkutan utama di Bahau suatu ketika dahulu. Projek ini dijalankan dengan kerjasama pelajar universiti dan warga kerja Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan. Ia merupakan inisiatif di bawah Program Local Agenda 21 (LA21) tahun 2024 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mural ini memaparkan lukisan beberapa buah syarikat bas yang pernah beroperasi di stesen tersebut, mengimbau nostalgia bagi mereka yang pernah melalui zaman tersebut. Menurut Yang Dipertua MPJL, Mohd Nazri Mulup, walaupun tidak sepenuhnya dapat diilhamkan di dinding stesen bas ini, kenangannya mampu mengusik jiwa.

Selain memperindah kawasan stesen bas, mural ini diharapkan dapat menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah Jempol, menarik minat pengunjung untuk mengenali sejarah dan warisan pengangkutan awam di Bahau.